• Utama
  • Berita
  • Perak laksana projek perikanan bandar di Kinta, Kampar

Perak laksana projek perikanan bandar di Kinta, Kampar

IPOH: Kerajaan negeri Perak akan melaksanakan projek perikanan bandar di 11 komuniti nelayan setempat di kawasan seluas 110 hektar di daerah Kinta dan Kampar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan Perak Datuk Abdul Yunus Jamahri, berkata antara kawasan kolam lombong yang diwartakan ialah Kampung Changkat Tin, Tanjung Tualang; Taman Aman, Kampar; Kampung Changkat Legong, Gopeng dan Kampung Changkat Bendera, Malim Nawar.

Beliau berkata, kertas kerja projek berkenaan akan dibawa ke mesyuarat exco kerajaan negeri dalam masa terdekat untuk kelulusan dan dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya Oktober depan.

"Sebelum ini, kerajaan negeri sudah menyediakan peruntukan awal sebanyak RM1.7 juta untuk pembangunan projek perikanan bandar itu, yang akan digunakan untuk pembersihan bekas lombong, bekalan benih ikan, makanan ikan dan stor penyimpanan makanan.

"Konsep projek perikanan bandar ini bertujuan memenuhi permintaan masyarakat setempat, yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 110 ketua isi rumah, di dua daerah berkenaan," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Abdul Yunus berkata, antara spesies ikan yang dibela di dalam bekas lombong berkenaan termasuklah tilapia merah, patin, jelawat serta lampam dan lain-lain spesies ikan yang bernilai tinggi.

"Program ini dijangka akan memberikan manfaat kepada nelayan darat setempat untuk menambah hasil tangkapan dan meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka," katanya. – BERNAMA

Cetak   Emel

Offcanvas

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.